Berita Semasa

Pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu mula dibuka hari ini

PUTRAJAYA – Pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 (ATABM 2024) dan Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2024 (ATHABM 2024) kini dibuka secara rasmi mulai hari ini.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pencalonan anugerah anjuran kementerian itu dibuka sehingga 12 Julai 2024.

Turut dibuka Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2024 (ATBMST 2024) yang dikhaskan bagi mengiktiraf ahli akademik yang memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang teknikal di peringkat politeknik dan kolej komuniti.

“Anugerah tahunan berprestij ini diadakan bagi mengiktiraf usaha dan inisiatif ahli-ahli akademik merentasi universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara yang telah mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat dalam pelbagai bidang ilmu merangkumi sains sosial, serta sains dan teknologi.

“Semenjak penganjuran sulungnya pada tahun 2012, seramai 10 orang tokoh akademik telah dinobatkan sebagai penerima ATABM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, para pemenang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 bagi kategori ATABM 2024 manakala ATHABM 2024 dan ATBMST 2024 pula masing-masing sebanyak RM5,000 termasuk piala iringan dan sijil.

Katanya lagi, kementerian akan terus komited dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan akan kekal memartabatkannya sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia menerusi program sedemikian.

Sementara itu, orang ramai boleh mendapatkan keterangan lanjut berhubung program berkenaan di pautan https://atabm.mohe.gov.my atau melalui e-mel atabm@mohe.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button