Berita Semasa

Benarkan pengeluaran KWSP secara bersasar dengan syarat tertentu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya membenarkan pengeluaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar dengan syarat-syarat tertentu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, meskipun KWSP merupakan simpanan hari tua, kerajaan wajar memahami kesulitan yang dialami rakyat khususnya yang bergelut dengan hutang.

Jelasnya, masih ramai rakyat yang terdesak untuk meneruskan kehidupan pada waktu ini.

“Sebelum ini, Kerajaan telah membenarkan empat pengeluaran KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas KWSP berjumlah RM145 bilion, melibatkan 8.1 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Saya berharap KWSP tidak terlalu mementingkan pelaburan untuk mendapatkan pulangan yang besar semata-mata, sedangkan pencarum pada hari ini hidup merana,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu seterusnya menjelaskan, pengeluaran wang simpanan tersebut jika dilaksanakan secara bersasar, hanya melibatkan jumlah yang kecil berbanding aset keseluruhan di bawah pengurusan KWSP yang mencecah hampir RM1 trilion.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mencari alternatif untuk membantu rakyat tanpa perlu membenarkan pengeluaran KWSP.

Show More

Related Articles

Back to top button