Anwar suarakan keresahan mengenai pertumpahan darah di Tebing Gaza
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keresahan mengenai pertumpahan darah yang berlaku di Tebing Gaza, Palestin pada Majlis Dialog Tidak Rasmi dan Makan Tengah Hari Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Sesi yang berlangsung di Moscone Centre, San Francisco itu dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dengan dihadiri oleh semua pemimpin APEC lain.
“Saya tegaskan apa yang berlaku di Gaza jelas menyerlahkan kegilaan menidakkan tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku seterusnya mengakibatkan malapetaka iklim,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Dalam majlis sama, Anwar turut menegaskan, negara maju perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memikul tanggungjawab dan membantu negara membangun dalam peralihan tenaga.
“Malaysia juga sedang mengubah ekonominya dan melabur dalam masa depan yang lebih bersih dan hijau termasuk melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.
“Syarikat minyak nasional, Petronas juga telah memberi komitmen untuk laluan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya lagi.