Subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya mulai 1 November ini
KUALA LUMPUR – Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, kerajaan telah bersetuju agar subsidi dan kawalan harga bagi ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November ini, demikian umum Datuk Seri Mohamad Sabu.
Walaubagaimanapun, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Jelas Mohamad Sabu, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.
Justeru katanya, rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan. Di samping itu, melalui kaedah ini Kerajaan akan turut dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai
“Penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling.
“Dalam hal ini, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, katanya, bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa, kerajaan akan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara.
Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna.
Jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggung jawab di peringkat runcit.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.
“Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat, serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif daripada segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti bagi program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
“Langkah ini akan memberi peningkatan daripada segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong-pemborong di pasaran.