Jenazah Muhammad Izzat dijangka tiba Khamis ini
KUANTAN – Jenazah Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia di Tachileik, Myanmar 14 Oktober lalu, dijangka dibawa pulang ke tanah air pada jam 11.25 pagi dari Yangon, Khamis ini.
Abang Allahyarham, Muhammad Hasmalizam, 45, berkata jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3 petang.
Muhammad Hasmalizam bersama adik dan anak saudara yang berada di Yangon sejak Jumaat lalu, mengharapkan segala urusan dipermudahkan termasuk urusan membawa pulang jenazah ke tanah air.
Katanya, setakat ini, dia sedang berusaha untuk menukar tiket penerbangan sama ada akan pulang mengiringi jenazah atau pulang lebih awal ke tanah air.
“Insya-Allah, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peramu, kuantan,” katanya memetik laporan BH Online.
Keluarga Allahyarham Muhammad Izzat juga membuat keputusan tidak akan melakukan bedah siasat kali kedua di tanah air.
Muhammad Hasmalizam berkata ini kerana ahli keluarga berpuas hati dengan keputusan perubatan di Yangon kerana ia dipantau pihak Kedutaan Malaysia di negara itu.
Katanya, tiada bedah siasat kali kedua akan dilakukan sebaik jenazah tiba di tanah air.
“Kami berpuas hati dengan keputusan bedah siasat di Yangon kerana ia dipantau oleh pihak kedutaan Malaysia di sini (Yangon).
“Maklumat awal laporan bedah siasat memaklumkan arwah adik meninggal dunia akibat sesak nafas walaupun keputusan penuh belum dapat lagi,” katanya lagi.
Pada 14 Oktober lalu, Muhammad Izzat, 28, maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan akibat dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan.
Berikutan itu, keluarga Allahyarham mahu bedah siasat dilakukan di Yangon dan tanah air bagi mengetahui punca kematian kerana tiada keputusan rasmi daripada pegawai perubatan dari Myanmar.
Muhammad Hasmalizam berkata, Muhammad Izzat meninggal dunia ketika berada di lokap tahanan polis selepas menerima rawatan di hospital.