Berita SemasaPM X

PM berterima kasih bantuan Peru selamatkan rakyat Malaysia

SAN FRANCISCO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Peru kerana menyelamatkan 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa eksploitasi dan perdagangan manusia di negara itu, baru-baru ini.

Anwar berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, di sini pada Khamis.

“Boluarte telah menyampaikan komitmen kerajaannya untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia,” kata Anwar.

Selain itu, Boluarte turut meminta Malaysia supaya mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk membantu memudah cara pensijilan halal bagi produk Peru, memandangkan pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia, kata Anwar.

“Saya telah bersetuju untuk memudahkan permintaan Peru itu secepat mungkin,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Boluarte.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen, Sim Tze Tzin

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Boluarte turut menjemput beliau melawat Peru tahun depan, sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 yang akan dipengerusikan Peru.

Datuk Seri Anwar pula memberitahu, logo halal Malaysia kini diiktiraf seluruh dunia dan beliau bersetuju dengan permintaan itu dan melaksanakannya secepat mungkin.

Presiden Peru itu turut mempelawa perniagaan Malaysia untuk melawat dan melabur di Peru, kata Anwar lagi.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Peru berjumlah US$168.45 juta (RM751.77 juta) dari Januari hingga Jun 2023, meningkat 12.8 peratus daripada US$155.97 juta (RM666.44 juta) yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button