Buli UPNM: MINDEF ambil langkah pencegahan, pasang CCTV di setiap blok
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mengambil langkah pencegahan bagi membendung insiden buli dalam kalangan kadetnya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara langkah yang telah diambil termasuklah pengasingan antara pelajar tahun dengan senior mereka.
Selain itu katanya, kementeriannya juga akan memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di setiap aras dan kawasan blok-blok asrama.
“Kita juga telah mengasingkan ‘roll call’ (panggilan untuk berbaris ) bagi pelajar senior dan pelajar tahun satu. Dalam tentera, mereka boleh dipanggil pada setiap jam.
“Selain itu, hukuman yang setimpal dan semaksimum mungkin akan diberikan kepada kadet sebagai langkah pencegahan dan kesedaran.
“Kalau kes itu membabitkan kes polis sehingga perlu dihadapkan ke mahkmah, kalau ikut AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), mereka boleh digantung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Ahad lalu, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelatih tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelatih tahun empat.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berada di tepi padang kawad selepas selesai sesi panggil nama
Mangsa yang berusia 19 tahun dilaporkan retak tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga dan kini dirawat di hospital.