Fuad Zakarshi cadang jawatan Menteri Ekonomi digantikan
KUALA LUMPUR – Jawatan Menteri Ekonomi yang kini dipegang oleh Rafizi Ramli adalah antara jawatan yang sepatutnya ditukar sekiranya Perdana Menteri merombak Kabinet, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fuad Zakarshi.
Beliau berkata, jawatan penting itu perlu diganti oleh individu yang betul-betul mampu melaksanakan tugas untuk memulihkan ekonomi negara, bukannya sekadar mengemukakan formula.
“Setakat formula masak dan makan di rumah itu biasa-biasa sahaja. Elok kalau Rafizi beri formula pelancongan pula.
“Mana tahu jika formula itu berjaya dalam pelancongan, mungkin dia akan jadi Menteri Pelancongan terbaik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan desas desus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyusun semula barisan ahli Kabinet selepas Pilihanraya Kecil (PRK) Pelangai minggu depan.
Keputusan itu juga diramal melibatkan pengguguran dan pelantikan muka baru. Bagaimanpun Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada keperluan mendesak bagi tujuan itu.