Berita Semasa

YADIM sambut baik tinjauan pendapat oleh Malaysia Airlines benarkan kru berhijab

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyambut baik inisatif Syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) yang melaksanakan tinjauan dalam talian untuk mendapatkan pandangan ramai sekiranya pramugari mereka dibenarkan mengenakan hijab atau pakaian yang menutup aurat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, langkah proaktif itu dapat menghentikan stigma dan eksploitasi kepada wanita yang terlibat dalam industri tersebut.

“Tahniah diucapkan kepada Malaysia Airlines atas inisiatif ini. Selain memberi ruang untuk melaksanakan ajaran agama, YADIM juga berpandangan ini satu langkah proaktif untuk menghentikan stigma dan eksploitasi kepada wanita yang terlibat dalam industri ini.

“Usaha yang akan memandu kepada langkah konstruktif ke arah kebenaran kod pemakaian patuh syariah dalam kalangan kru penerbangan wanita ini wajar diberi pujian dan sokongan selaras dengan agenda mengangkat martabat wanita dan Islam yang rahmah yang dibawa oleh pihak kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, menerusi langkah itu juga Malaysia Airlines bakal menyertai beberapa lagi syarikat yang membenarkan pramugarinya menutup aurat seperti Royal Brunei Airline, Egyptair dan Air Cairo.

Malah katanya, baru-baru ini, British Airways juga memperkenalkan seragam baharu dengan pilihan tudung untuk kru wanita.

“YADIM optimis bahawa tinjauan yang akan mendapat respon positif daripada rakyat ini tidak sama sekali menjejaskan produktiviti Malaysia Airlines yang terkenal dengan tag line “Malaysian Hospitality Begins with Us” di seluruh dunia.

“Bahkan setiap usaha yang membawa manusia kepada pematuhan terhadap syariat Allah SWT akan mendatangkan keberkatan dan kebaikan walau sekecil mana usaha tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, syarikat penerbangan negara itu menghantar borang kajian kepada penggunanya baru-baru ini.

Menurut surat tersebut, syarikat penerbangan itu berhasrat untuk membawa pembaharuan kepada seragam pramugari mereka untuk menjadi lebih inklusif sambil mengekalkan gaya anggun dan klasik.

Dalam tinjauan tersebut, antara soalan yang ditanya adalah, adakah anda berpendapat Malaysia Airlines patut memberikan sentuhan lebih sederhana kepada kebaya yang menjadi ikon seragam Malaysia Airlines?

Soalan seterusnya yang lebih menarik, adakah anda lebih suka jika Malaysia Airlines membuat perubahan kepada rekaan kebaya sekarang, supaya kakitangan wanita boleh memilih untuk memakai hijab apabila bertugas di dalam penerbangan domestik dan antarabangsa?

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button