Berita SemasaPolitik

Dakwaan orang PH kutip dana pilihan raya, Rafizi cabar Sanusi lapor SPRM

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mencabar Menteri Besar Kedah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumpul dana untuk PRU16.

Rafizi berkata, sekiranya tuduhan itu disokong dengan bukti yang cukup, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya segera membuat laporan.

Sebaliknya kata beliau, dakwaan itu hanyalah tuduhan untuk menutup kelemahannya mentadbir Kedah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

“Kalau betul ada orang DAP ‘pow-pow’ duit, sebabkan perancangan Sanusi tak berjalan. Kalau ada, sebut.

“Jangan gunakan PRK ini tanam dendam fitnah dan bodohkan lebih ramai orang Melayu, kalau tak reti buat kerja mengaku.

“Kalau betul ada, buat laporan SPRM,” katanya ketika pelancaran jentera kerajaan perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap malam tadi.

Sanusi yang merupakan Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada malam Sabtu lalu mendakwa terdapat banyak projek di negeri Kedah tergendala disebabkan tiada bayaran diberikan kepada wakil-wakil orang PKR dan DAP.

Bahkan kata Rafizi, beliau percaya Sanusi akan berterusan menggunakan cara seperti itu untuk berkempen pada pilihan raya berkenaan.

“Kalau tak ada (laporan SPRM) maksudnya bersedialah dalam tempoh kempen macam-macam cerita Sanusi akan buat,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata kerajaan perpaduan akan mengumumkan calon bagi PRK Sungai Bakap, Rabu ini.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Adun PAS daripada Perikatan Nasional (PN) Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan perut.

Show More

Related Articles

Back to top button