Berita Semasa

Jualan merosot tidak patah semangat Pengasas Telekung Rawdah untuk berjaya

SUBANG JAYA – Walaupun pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatan golongan usahawan, namun ia tidak mematahkan semangat Pengasas Telekung Rawdah Alia Izaaty untuk meneruskan perniagaannya yang sudah jatuh ditimpa tangga.

Menurut Alia, susulan jualannya yang merosot semasa pandemik Covid-19, beliau mengambil keputusan membina jenama Telekung Rawdah meski negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) waktu itu.

Memilih tagline ‘Seanggun bidadari menghadap Ilahi’, Alia memilih kain cotton premium terbaik dalam menghasilkan telekung keluaran syarikatnya.

Menurutnya lagi, adalah penting baginya untuk menghasilkan telekung dengan kualiti terbaik bagi memastikan pelanggannya kekal selesa dalam urusan ibadah.

Mengulas lanjut, Alia berkata, pada tahun lalu, Telekung Rawdah Berjaya mencatat jualan sehingga RM6 juta dengan pembukaan bilik pameran baharu di Putra Heights, Subang Jaya.

Jelasnya, dengan pembukaan bilik pameran tersebut, pelanggan kini boleh datang terus untuk membeli Telekung Rawdah atau  mengambil telekung yang telah ditempah terlebih dahulu secara dalam talian.

Menetapkan sasaran jualan RM10 juta menjelang 2023, Alia berkata, pembukaan cawangan kedua di Subang Jaya bukanlah untuk mengembangkan perniagaan, namun untuk memudahkan pelanggan memiliki dan merasai sendiri material di butik.

“Ramai peniaga dalam fasa bertahan pada waktu ini kerana cabarannya cukup besar. Dan pembukaan cawangan kedua kami ini bukanlah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan, namun kami mahu memudahkan pelanggan yang ada.

“Untuk tahun lepas, jualan kami mencecah RM6 juta dengan jualan 50,000 pasang telekung. Dan untuk tahun ini kami mensasarkan jualan RM10 juta.

“Telekung Rawdah sudah lebih tiga tahun dalam pasaran Malaysia dan kami bermula secara dalam talian kerana dunia dilanda pandemik. Covid-19. Dan hari ini secara rasminya cawangan kedua dibuka di Putra Height, Subang Jaya. Cawangan pertama kami berada di Melawati Mall,” katanya lagi.

Tambah Alia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Telekung Rawdah, pihaknya mempunyai misi mendidik wanita Islam di Malaysia agar menampilkan diri yang terbaik sewaktu menunaikan solat.

Malah katanya, ada segelintir wanita yang jarang menukar telekung namun cukup mementingkan ketrampilan sewaktu bersosial.

“Kami selalu bertanya ‘bila kali terakhir tukar telekung?’. Ada segelintir yang memakai telekung bertahi lalat dan tidak bertukar telekung. Kami ingin berkongsi kesedaran kerana masih ada yang memakai telekung lusuh dan tidak titikberatkan kebersihan. Cukup sayang kerana setiap kali keluar rumah, kita akan pakai yang cantik-cantik, namun bila di hadapan Allah, kita ambil mudah.

“Tidak perlu mahal dan ikut trend, asalkan kita ada telekung yang cantik dan bersih untuk pamerkan kepada Allah.

“Telekung Rawdah Signature antara yang menjadi pilihan kerana kami sangat mementingkan keselesaan, bermaksud design terletak di tempat kedua. Kami mahu pemakai mendapat pengalaman menunaikan solat, walaupun lima minit, namun itulah detik ‘me time’ yang sangat berharga.

“Misi kami untuk mendidik wanita di Malaysia lebih dekat dengan ilmu kewanitaan dan keagamaan. Selain daripada mempromosi telekung, kami menjadikan media sosial sebagai platform utama menyebarkan ilmu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menawarkan 16 koleksi dengan 80 warna pilihan, Telekung Rawdah juga melakukan inovasi beg sejadah dua dalam satu di mana beg boleh ditukarkan menjadi sejadah dan cukup mudah dibawa.

“Setakat ini terdapat 16 koleksi telekung Rawdah dan kami sentiasa melakukan kajian untuk mencari material terbaik di mana kain telekung yang digunakan sangat selesa.

“Idea beg sejadah dua dalam satu juga tercetus sewaktu Covid-19 di mana kita semua cukup berhati-hati untuk berkongsi telekung dan sejadah. Kami inovasikan beg menjadi sejadah dan mudah untuk dibawa ke mana-mana. Malah kami juga menawarkan jahitan sulaman nama kepada pelanggan.

“Secara keseluruhan terdapat 80 pilihan warna dalam koleksi telekung Rawdah dan signature kami diinspirasi daripada bunga dan akan dipecahkan kepada koleksi berlainan.

“Sebagai contoh Safia, bunga dan kerawang, Nayla diinspirasikan daripada bunga matahari dan Inayah Series daripada bunga Daisy. Sehingga hari ini Safia masih menjadi pilihan walaupun sudah tiga tahun dipasaran,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button