myBarber tawar khidmat tempahan gunting rambut dalam talian
KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh membuat tempahan bagi perkhidmatan penjagaan rambut secara dalam talian menerusi aplikasi myBarber.
Pengasas myBarber, Muhammad Saiful Amirul Nasharuddin berkata, dengan adanya aplikasi itu, pengguna boleh menempah khidmat potongan rambut dengan cara meneroka portfolio tukang gunting rambut (barber) di sesebuah kawasan.
Lebih menarik, katanya, pembayaran bagi tempahan khidmat potongan rambut juga boleh dilakukan tanpa tunai melalui satu aplikasi.
“Kami berhasrat menjadi destinasi utama untuk semua keperluan penjagaan rambut, mencipta pengalaman lancar dan mudah bagi pelanggan serta tukang gunting,” katanya.
Muhammad Saiful berkata demikian dalam pelancaran aplikasi versi beta, myBarber di SneakerLAH, Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif myBarber, Ahmad Hazman Hashri dan pengasas TODAK, Azlan Zainal.
Sebagai rekod, myBarber adalah usaha baharu dikuasakan oleh jenama lokal yang tidak asing lagi di Malaysia iaitu TODAK.
Mengulas mengenai ciri-ciri aplikasi myBarber, Muhammad Saiful berkata, pelanggan boleh melakukan tempahan dengan cepat di kedai gunting rambut (barber shop) mahupun rumah.
“Pengguna boleh mencari tukang gunting mahir berdekatan dengan melihat portfolio dan memilih berdasarkan ulasan orang ramai.
“Pembayaran juga lancar kerana transaksi tanpa tunai terus dalam aplikasi,” katanya yang terbabit dalam bidang gunting rambut sejak lima tahun lalu.
Tambah Muhammad Saiful, pengguna platform myBarber juga akan diingatkan untuk membuat tempahan seterusnya.
“Aplikasi ini menguruskan pelbagai tempahan dengan cekap serta dilengkapi analisis perniagaan iaitu akses analitik perniagaan, pemantauan kehadiran dan trend tempahan pelanggan.
“Selain itu, platform ini juga memberi sokongan kepada tukang gunting sambilan (bebas) dengan menyediakan perkhidmatan panggilan ke rumah” katanya.
Maklumat lanjut mengenai aplikasi myBarber boleh didapati menerusi pautan media sosial seperti laman Instagram: mybarberhq; Facebook: mybarber dan laman web https://barber.my/