Malaysia komited perkukuh kerjasama dengan Korea
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan pentingnya untuk mempromosikan literasi digital, teknologi inovatif, dan kesalinghubungan infrastruktur digital untuk memperkasa dan mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (MSME) Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-24 di Jakarta, Indonesia hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu juga selari dengan Kerangka Ekonomi Madani.
“Saya turut mengalu-alukan penubuhan ASEAN-ROK Cooperation Centre for Carbon Neutrality and Green Transition sebagai usaha kolektif ASEAN-ROK untuk menangani perubahan iklim.
“Hatta,cadangan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK pada tahun 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-ROK juga disifatkan sangat baik serta wajar dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Anwar berkata, dalam kesempatan itu juga beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol.
Anwar berkata, ini merupakan pertemuan kali pertama sejak masing-masing memegang jawatan sebagai Presiden Korea dan Perdana Menteri Malaysia pada bulan Mei dan November 2022.
“Semasa pertemuan tersebut, kami telah menyatakan komitmen dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Republik Korea yang sedia ada serta meneroka peluang-peluang kerjasama baharu demi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Antara hasil utama perbincangan termasuklah pertukaran lawatan di peringkat tinggi dan potensi pengecualian daripada Korea Electronic Travel Authorisation (K-ETA) dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan semasa rakyat,” ujarnya.