PM tiba di Arab Saudi
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jeddah, Arab Saudi bagi memulakan lawatan rasmi hingga Jumaat, 24 Mac nanti.
Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke Arab Saudi sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 di atas jemputan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.
“Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama sedia ada di samping meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu.
“Semoga lawatan ini akan terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, insya-Allah,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan, sebentat tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud.
Anwar turut diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Perdana Menteri dijadual menghadap Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman.
Anwar juga dijangka mengadakan sesi pertemuan bersama komuniti perniagaan serta diaspora Malaysia di Arab Saudi.