Berita SemasaPM X

10,000 bersama PM dalam Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menegaskan pembentukan negara MADANI harus berpasak pada nilai kemanusiaan, jati diri, keyakinan dan akhlak di samping usaha mengejar kemajuan ekonomi, perdagangan dan pembangunan.

Katanya, tiada ertinya memiliki sebuah negara yang gah dengan pembangunan yang pesat jika nilai-nilai itu dipinggirkan.

“Kerana itu Kerajaan MADANI mempersiapkan generasi masa depan dengan membudayakan ilmu dan pencerahan, terutama dengan mewajibkan anak-anak Islam di semua sistem pendidikan negara untuk menelaah Hadis 40 Imam Nawawi berserta terjemahan dan syarahnya, di samping mengupayakan penguasaan Al-Quran dan hadis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di media sosialnya sempena Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 di Masjid Putra malam tadi.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 jemaah itu, Anwar menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada semua peserta yang tekun dan istiqamah mengikuti majlis itu sejak 10 hari lalu.

“Saya doakan semoga usaha-usaha ini memancarkan sinar untuk Malaysia muncul sebagai negara MADANI yang gigih berusaha memacu pertumbuhan, di samping menghidupkan penghayatan ruh Islam serta membawa mesej dan harapan baharu buat dunia, Insya-Allah,” katanya.

Katanya, penganjuran majlis khatam sama’ hadis itu diilhamkan oleh Syeikh Abu Bakar semasa beliau melawat markas pimpinan agamawan itu di Kerala, India beberapa tahun lalu.

“Syeikh Abu Bakar sempat menitipkan pesanan supaya menganjurkan majlis khatam sama’ hadith sahih Al-Bukhari sekiranya diizinkan Allah untuk memimpin negara.

“Alhamdulillah, kita telah mulakan majlis ini tahun lalu secara sederhana dan diteruskan tahun ini secara lebih hebat dengan sokongan sahabat-sahabat ulama’ dan agensi-agensi Kerajaan.

“Saya juga amat menghargai titipan hikmah Syeikh Abu Bakar tatkala bertemu di kediaman saya hari ini, di mana beliau berpesan supaya istiqamah, sabar dan tidak gusar berdepan ugutan, hinaan, cercaan dan fitnah. Ini sebagaimana peringatan Allah SWT,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button