Individu terlibat siasatan 3R boleh ditahan bila-bila masa – KPN
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, individu yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 boleh ditahan pada bila-bila masa.
Razarudin menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menahan individu yang disiasat mengikut akta itu pada bila-bila masa kerana ia bukannya ‘non-seizable’ (tidak perlu ditahan).
“Seksyen 4 (1) (Akta Hasutan) ini sebenarnya satu kesalahan yang lazim ditahan.. bukannya ‘non-seizable’ (tidak perlu ditahan) dan ia adalah ‘seizable offence’ (kesalahan yang boleh ditahan).
“Sebenarnya, kalau ‘seizable offence’ ini, kalau tanya saya, bila-bila kita nak tangkap pun tidak apa, bila-bila pun boleh,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilaksanakan pada pukul 3 pagi tadi.
Razarudin berkata, penahanan terhadap Sanusi perlu dibuat kerana tahap kesalahan yang dilakukannya serius dan boleh mencetuskan kegusaran serta rasa tidak puas hati banyak pihak.
“Kes ini kita lihat macam ini, kes-kes 3R (agama, bangsa, raja) ini lebih kurang sama sahaja, lebih kurang kita cakap… tetapi sifat 3R ini kita pun perlu lihat secara holistik.
“Kes ini membabitkan Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong dan juga Sultan Selangor… dan ketidakpuasan hati oleh Ahli Majlis Diraja Selangor yang sendiri buat laporan.
“Kita nampak ‘degree of offence’ siasatan itu yang akan mendatangkan penghinaan, kebencian dan bangkit perasaan tidak setia terhadap raja-raja,” katanya.
Justeru, tegas beliau, PDRM tidak boleh membiarkan perkara sedemikian kerana ia akan menyebabkan sembilan institusi diraja dalam negara ini terdedah kepada penghinaan yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya.