Rumah Transit Belia dijenamakan semula sebagai Rumah Belia MADANI, sebanyak 1,048 unit baru akan dibina
PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini memeterai Perjanjian Pembangunan Rumah Transit Belia (Rumah Belia MADANI) bersama Syarikat BMG Global Sdn. Bhd bagi penyediaan 1,048 unit Rumah Belia MADANI (RBM) di Kuala Lumpur.
Perjanjian Pembangunan Rumah Transit Belia (Rumah Belia MADANI) ini ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Pengarah Eksekutif BMG Global, Sakeri Maming.
Menurut KPKT dalam satu kenyataan, projek RBM ini akan dibangunkan secara cross subsidy oleh KPKT bersama-sama pemaju iaitu syarikat BMG Global yang akan membangunkan sebanyak 1,996 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dengan tawaran harga RM300,000 kepada rakyat khususnya bagi kumpulan M40.
“Melalui keuntungan daripada hasil jualan ini, pemaju akan membina sebanyak 1,048 unit rumah RBM secara percuma iaitu pulangan timbal balik (in-kind) kepada kerajaan iaitu 35 peratus daripada keseluruhan unit rumah yang akan dibina.
“Projek ini akan memberikan impak positif kepada Kerajaan melalui penyediaan sebanyak 3,044 unit rumah untuk rakyat yang akan dibangunkan di atas tanah kerajaan berkeluasan 12.8 ekar di Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya lagi, keseluruhan kos pemajuan ini akan ditanggung oleh pihak pemaju.
Sementara itu Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penjenamaan RBM itu merupakan cetusan idea dalam menyokong konsep Malaysia MADANI yang menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.
“Kerajaan amat menyedari keperitan dan rintihan golongan muda terutamanya yang baru membina kehidupan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Oleh itu, golongan yang layak menduduki RBM akan ditawarkan secara transit (sewaan) untuk suatu tempoh sekurang-kurangnya 2 tahun dan boleh diperbaharui bergantung kepada kelayakan,” katanya.
Ujarnya, inisiatif ini akan memberi keutamaan kepada golongan belia yang berusia di bawah 35 tahun yang baru memulakan kerjaya dengan pendapatan yang minimal.