Berita Semasa

Di mana pemimpin PN ketika Sultan Selangor dihina – Amirudin Shari

BANGI – Sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional berhubung kenyataan sensitif Menteri Besar Kedar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi gambaran seolah-olah pemimpin parti itu bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemimpin PN khususnya di Selangor seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi tidak sepatutnya berdiam diri ketika rakan mereka menyinggung Sultan Selangor.

“Tidak ada langsung permohonan maaf daripada mereka walaupun sepentas semasa rakan mereka dari PN menyinggung Sultan Selangor.

“Adakah mereka lebih gemar mempertahankan kawan mereka dan sanggup membiarkan institusi diraja Selangor dijadikan bahan penghinaan?,” soal Amirudin menerusi hantaran Facebook malam tadi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Noor dalam ceramahnya sebelum ini dikatakan telah
mempertikaikan keputusan Sultan memilih Amiruddin sebagai menteri besar Selangor sebagai keputusan tidak tepat.

Amirudin berkata, beliau kecewa dengan tindakan pimpinan PN Selangor kerana sebagai pemimpin yang memperjuangkan orang Melayu, mereka sepatutnya tampil mempertahankan Institusi Diraja.

“Inilah yang dinamakan hipokrit, mendabik dada kononnya memperjuangkan hak orang Melayu tapi melanggar batas adab sebagai anak Melayu.

“Tidak hormat pada institusi Raja Raja Melayu. Sungguh mengecewakan dan menyedihkan,” tegasnya.

Kenyataan itu disifatkan telah menyentuh isu sensitif 3R iaitu agama, bangsa dan institusi di raja.

Susulan daripada itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

Show More

Related Articles

Back to top button