Berita Semasa

Nisbah tanggungan penduduk tua di Selangor meningkat

SHAH ALAM – Nisbah tanggungan bagi penduduk tua di Selangor meningkat kepada 11.4 peratus pada tahun ini.

Sehubungan itu, kata EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Anfaal Saari, perubahan demografi ini sudah tentu akan mempengaruhi pasaran tenaga kerja di masa hadapan.

“Bilangan saiz isi rumah akan menjadi semakin mengecil serta berlakunya peningkatan nisbah tanggungan bagi penduduk tua.

“Di Selangor, nisbah tanggungan bagi penduduk tua meningkat kepada 11.4 pada tahun ini.

“Situasi ini menjejaskan produktiviti negeri dalam aspek pengurangan tenaga kerja muda, beban kerja yang meningkat serta penurunan produktiviti pekerja lanjut usia,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Anfaal berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat dari Rawang, Chua Wei Kiat berhubung kesan populasi menua (ageing population) terhadap produktiviti negeri dan perancangan kerajaan untuk menghadapi cabaran itu.

Mengulas lanjut katanya, di Malaysia, Dasar Warga Emas Negara (DWEN) mendefinisikan warga emas sebagai individu yang berusia 60 tahun dan ke atas.

“Pada tahun lalu, jumlah warga emas di Malaysia berjumlah 3.7 juta orang iaitu mewakili 11.3 peratus daripada jumlah penduduk, manakala Selangor mencatatkan seramai 822,000 warga emas iaitu 11.4 peratus.

“Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 jumlah warga emas mencapai 15 peratus.

“Selain itu, turut berlaku peningkatan jangka hayat penduduk iaitu 78.1 tahun dan penurunan kadar kesuburan (Total Fertility Rate) di Selangor kepada 1.5 anak,” katanya.

Katanya, Selangor akan menjadi negeri pertama yang melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor dan pelan Tindakan 2024-2030 pada Persidangan Dewan Negeri kali ini.

“Dasar ini akan memberi perhatian kepada aspek penjagaan yang berkualiti, mudah diakses dan mampu milik untuk warga emas,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button