Politik

Kempen ‘kalih bagi sama’: Di mana songsangnya? – Mahdzir tanya Sanusi

ALOR SETAR – UMNO Kedah menyangkal dakwaan yang mengatakan parti itu bertindak songsang dengan melanggar amalan demokrasi di negara ini apabila melancarkan kempen ‘Kalih Bagi Sama’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kempen itu hanya sebahagian kempen gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menawan kembali pengundi di negeri berkenaan.

Jelasnya, kempen itu juga adalah tawaran gabungan itu kepada rakyat Kedah yang mahu melihat pentadbiran negeri dan Persekutuan selari, agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke negeri berkenaan.

“Di mana songsangnya? Istilah songsang tak ada apabila tiba kempen pilihan raya, kita guna ‘Kalih Bagi Sama’ kerana ia adalah hak parti untuk berkempen. Kita tawarkan kepada rakyat Kedah jika undi BN dan PH, makna sama undi kerajaan di Persekutuan.

“Dalam amalan demokrasi ini tak salah, ada perkara lebih salah jika mencarut, maki orang, fitnah, ikut suka hati kata pada orang. Itu semua lebih dasyat lagi daripada songsang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat UMNO Kedah di sini, malam tadi.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kempen ‘Kalih Bagi Sama’ yang dilancarkan PH-BN sebagai songsang dan bertentangan amalan demokrasi di negara ini.

Mengulas mengenai manifesto yang akan digunakan gabungan BN-PH sempena PRN akan datang, Mahdzir yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, tawaran itu akan merangkumi pelbagai aspek demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat terus dibela.

Jelasnya, tawaran yang akan dimuktamadkan BN dan PH dalam tempoh terdekat ini, diyakini mampu memberi keyakinan kepada pengundi dalam membuat pilihan mereka.

“Antara intipati manifesto yang dibincangkan adalah tawaran kepada wanita dan golongan belia selain aspek kesejahteraan rakyat membabitkan perkara ekonomi, pertanian dan pendidikan dan sukan.

“Kita akan bawa tawaran ini untuk diputuskan BN dan PH minggu depan, jika kedua-dua pihak terima, maka kita akan bentangkan kepada rakyat pada PRN kali ini,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi antara BN dan PH, beliau memaklumkan proses rundingan kini masuk peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

“Pembahagian kerusi sudah masuk pusingan akhir, cuma ada dua kerusi berlaku pertindihan dan kita serah pada Pusat untuk menentukan siapa yang bakal bertanding. Bagi kerusi lain, kita sudah capai persefahaman.

“Pembahagian di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan BN dan PH ada wakil di setiap kawasan Parlimen, ini bagi menunjukkan semangat perpaduan antara kita pada PRN ini,” katanya.

Untuk rekod, Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan Perikatan Nasional (PN) menguasai 21 kerusi melalui Pas (15) dan Bersatu (enam) manakala PH menguasai 11 kerusi melalui PKR (lima), AMANAH (empat) dan DAP (dua) dengan BN dan Pejuang pula masing-masing memiliki dua kerusi.

Show More

Related Articles

Back to top button