Politik

Salleh Bajuri tidak sepatutnya ditahan reman SPRM

BANGI- Penahanan reman Bendahari Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Salleh Bajuri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dakwa sebagai salah satu pemburun politik yang dilakukan untuk melemahkan parti itu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan penahanan Salleh sebagai tindakan tidak munasabah kerana beliau telah memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan sejak dipanggil Januari lalu.

“Ini kerana beliau (Salleh) sentiasa hadir dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya setiap kali diperlukan kepada siasatan SPRM sejak Januari lagi.

“Setiap kali dipanggil, beliau hadir. Setiap kali ada permintaan dokumen, beliau serahkan. Tidak pernah beliau menolak permintaan SPRM, walaupun diminta pada saat akhir.

“Namun, pada 1 Mac lalu beliau sekali lagi dipanggil secara tergesa-gesa. Apabila hadir untuk memberi keterangan, beliau ditahan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan itu juga seolah-olah usaha berterusan kerajaan PH-BN untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.

Hamzah mendakwa, penyata kewangan parti itu telah disahkan ‘bersih’ selepas diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan.

“Tiada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan itu, yang telah disahkan juruaudit bertauliah.

“Salleh sebagai seorang Bendahari Agung yang beramanah dan berintegriti telah memastikan semua perolehan yang dibuat oleh BERSATU sudah melalui proses dan tatacara kewangan parti,” katanya.

Salleh ditahan reman selama dua hari oleh SPRM bermula Khamis lalu hingga semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh BERSATU kepada pembekal dan vendor parti.

Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

Show More

Related Articles

Back to top button