KeTSA sahkan pintu kawalan Sungai Muda terbuka tanpa amaran, proses pemulihan sepenuhnya dijangka Rabu ini
PUTRAJAYA – Operasi pintu Ampang Jajar Sungai Muda bagi tujuan pemulihan dan menaikkan aras air dijangka pulih sepenuhnya pada Rabu ini.
Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) ia susulan sistem automasi kawalan (SCADA) telah mengalami gangguan teknikal apabila satu pintu kawalan telah terbuka tanpa sebarang amaran menyebabkan air Sungai Muda telah surut ke paras 0.67meter berbanding 1.85meter sebelum kejadian pada Sabtu lalu.
Sehubungan itu, katanya, Pejabat Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah mengambil tindakan serta merta dengan menutup pintu air tersebut secara manual semalam jam 7:30 pagi.
“Bekalan dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat di semua kawasan termasuk di hujung sistem agihan bekalan sehingga 17 Mei 2023 (Rabu).
“Pada masa sama, pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah memasang Submersible Pump’ bagi membolehkan LRA Kulim HiTech, Sungai Petani dan Pinang Tunggal beroperasi.
“Pihak SADA juga telah memohon bantuan lori tangki air melalui SPAN kepada rakan operator dan turut menggerakkan bantuan lori tangki milik SADA kepada pengguna di kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut katanya, tindakan pemulihan bagi menaikkan aras air Sungai Muda telah dibuat melalui pelepasan air daripada Empangan Beris mulai jam 8:45 pagi semalam.
“Pelepasan takungan Empangan Beris dibuat dengan kadar alir pelepasan maksimum iaitu sebanyak 15m3/s sehingga air Sungai Muda mencapai aras minima 1.85meter dan operasi pelepasan air Empangan Beris ini telah dimaklumkan dan dipersetujui oleh Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.
“Sebagai langkah tindakan jangka pendek, semua operasi pintu Ampang Jajar Sungai Muda akan ditukarkan daripada mod automatik kepada mod manual sepanjang tempoh musim kering ini.
“Dan bagi memastikan sistem dapat berfungsi dan beroperasi dengan baik,
penggantian kesemua 14 alat angkat akan disegerakan. JPS sedang membuat siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan teknikal pada sistem kawalan pintu.
“Semua agensi-agensi di negeri yang terlibat akan sentiasa memantau perkara ini bagi memastikan sumber dan bekalan air dapat di pulihkan,” ujarnya.