
Belanjawan 2023 tiada halatuju jelas – Dr Radzi Jidin
KUALA LUMPUR – Kerangka Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini dilihat tidak mempunyai sebarang halatuju yang jelas bagi memacu pertumbuhan negara ke masa hadapan.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, berbeza dengan belanjawan sebelum ini yang dirangka berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), belanjawan kali ini tidak mempunyai fokus jelas.
“WKB2030 memfokuskan kepada keberhasilan, mempunyai sasaran yang jelas serta menekankan kepada pemantauan pelaksanaan.
“Namun, sayangnya, WKB2030 tidak lagi dijadikan asas bagi dasar perancangan negara oleh Perdana Menteri ke-10 walaupun RMKe-12 telah dijajarkan sepenuhnya dengan wawasan ini,” kata Radzi.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Belanjawan tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.
Radzi kemudiannya mencadangkan supaya kerajaan terlebih dahulu menyediakan kerangka asas yang kukuh sebelum sesuatu perancangan jangka panjang yang dirangka sebelum ini dihapuskan.
“… harapan rakyat, termasuklah ahli ekonomi dan penganalisis pasaran mahupun ahli akademia, adalah untuk melihat hala tuju jelas dan cadangan structural changes, dengan izin, kepada ekonomi negara dalam pembentangan Belanjawan 2023.
“Apatah lagi belanjawan kali ini dibentang oleh seorang yang sentiasa melabelkan dirinya sebagai reformis. Sayangnya, indah khabar daripada rupa!” kata Radzi lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune