Pendaki Gunung Kinabalu maut selepas diserang AMS
KOTA KINABALU – Seorang pendaki yang diserang Sindrom Akut Gunung (AMS) semasa mendaki Gunung Kinabalu dekat sini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ranau, pukul 4.30 pagi semalam.
Alexzander Kueh Check Boo, 45, disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu kelmarin dan tiba di Panalaban namun dipercayai mengalami AMS.
“Kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira pukul 9 malam.
“Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada puk5 10 malam, pasukan Penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
“Selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christina telah meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah Kementeriannya membantu keluarga mangsa.
“Keadaan isteri stabil selepas sembuh dari AMS. Namun, dia kehilangan pasangannya yang setia,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pendaki gunung supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian.