Berita Semasa

Pelupusan hutang peneroka Felda RM8.3bilion akan dibatalkan

BANGI – Kerajaan sedang berusaha menghentikan inisiatif memansuhkan pinjaman peneroka Felda yang dimulakan oleh pentadbiran bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelupusan pinjaman peneroko Felda tidak dapat diteruskan kerana memberi kesan besar kepada aliran tunai Felda.

“Pentadbiran terdahulu (Muhyiddin) pada Julai 2021 telah meluluskan penghapusan hutang peneroka Felda keseluruhanya bernilai RM8.3 bilion.

“Ia tidak dapat diteruskan kerana melibatkan kos yang terlalu besar,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan kerajaannya bersetuju untuk melupuskan sebahagian daripada pinjaman peneroka Felda yang berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.

Ini termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka) dan modal pembangunan (6,711 peneroka).

Kamal meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan lagi usaha Kerajaan sebelum ini dalam menghapuskan hutang Felda.

Oleh yang demikian, kata Azalina kutipan balik baki hutang ataupun pinjaman yang telah dikeluarkan sehingga kini perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi dan kebajikan warga peneroka Felda.

“Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka Felda merupakan salah satu sumber pendapatan Felda yang penting bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun 2023,” katanya lagi.

Kamal semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 20 Februari lalu turut menyentuh mengenai penghapusan hutang peneroka Felda.

Beliau memberi cadangan kepada pihak-pihak yang wajib sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muhyiddin yang menghapuskan 80 peratus hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion.

“Saya mewakili anak-anak peneroka, merasai beban tanggungan hutang generasi pertama memohon agar hendaklah kiranya ada usaha lagi dibuat agar menghapuskan keseluruhan hutang peneroka yang berjumlah lebihan daripada RM8.3 bilion tersebut.

“Mudah-mudahan ia memberi sedikit kelegaan kepada anak-anak peneroka pertama yang telah meninggal dunia. Ini sekurang-kurangnya mereka tidak terbeban dengan hutang yang mereka tanggung,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button