
Bayangkan jika semua pemimpin lantik anak sendiri – Sanusi
ALOR SETAR – Pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dibimbangi akan menjadi ‘penanda aras’ dalam pentadbiran negara.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelantikan seumpama itu tidak pernah dilakukan mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Sanusi berkata, keputusan Perdana Menteri yang melantik ahli keluarga untuk memikul jawatan penting itu boleh menimbulkan pelbagai persoalan terutama kepada pemimpin politik lain.
“Amalan ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia nampak luar biasa. Saya tidak tahu apa akan jadi sekiranya semua orang politik melantik anak mereka untuk terlibat dalam jawatan-jawatan kerajaan walaupun tanpa mengambil gaji,” katanya.
Sanusi berkata, alasan dan penjelasan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai lantikan tanpa gaji juga tidak masuk akal.
Beliau beranggapan bahawa jawatan yang diberikan kepada Nurul Izzah itu walaupun tanpa gaji atau elaun sudah cukup istimewa kerana mempunyai akses kepada banyak urusan perolehan kerajaan.
“Tetapi dia kerja untuk menasihati polisi kerajaan, jaga perolehan, mahu memastikan tender diurus dengan betul. Itu kerja pegawai kerajaan,” katanya.