Berita SemasaBisnes & EkonomiPolitik

Kerajaan tiada kuasa arahkan swasta naikkan gaji – Rafizi

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan majikan sektor swasta menaikkan gaji pekerja mereka mengikut ketetapan tertentu, jelas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut beliau, syarikat swasta dimiliki sepenuhnya oleh majikan, bukan kerajaan, justeru penetapan tangga gaji adalah bergantung kepada kemampuan majikan sendiri.

“Bolehkah kerajaan mengarahkan majikan swasta menaikkan gaji mengikut ketetapan kerajaan? Jawapannya tidak, kerana syarikat tersebut adalah milik swasta,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.

Rafizi turut menegaskan bahawa kerajaan hanya berperanan menetapkan gaji minimum untuk melindungi pekerja daripada dieksploitasi, tetapi tangga gaji bagi pelbagai jawatan bergantung kepada pasaran serta kemampuan syarikat menjana pendapatan.

“Kerajaan menetapkan gaji lantai bagi mengelakkan pekerja daripada dimanipulasi, namun mustahil bagi kerajaan menetapkan tangga gaji bagi semua pekerjaan kerana setiap jawatan memerlukan kemahiran dan kelayakan yang berbeza,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa tiada negara di dunia yang boleh mengarahkan penetapan gaji bagi sektor swasta kecuali negara komunis, di mana tiada syarikat swasta kerana semua perusahaan dimiliki negara.

Meskipun begitu, kerajaan memainkan peranan penting melalui pelaksanaan dasar-dasar yang menyokong kenaikan gaji dalam sektor swasta, merujuk kepada dua dasar utama di bawah Pentadbiran Madani, iaitu Perintah Gaji Minima dan Dasar Gaji Progresif.

“Perintah Gaji Minima memastikan gaji lantai terus meningkat, manakala Dasar Gaji Progresif memberi insentif kepada majikan dan pekerja untuk meningkatkan gaji berdasarkan kemahiran dan kelayakan,” katanya lagi.

Hantaran Rafizi itu mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan perbincangan hangat mengenai peranan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan pekerja sektor swasta, terutama dari segi kenaikan gaji yang berpatutan dengan kos sara hidup semasa.

Show More

Related Articles

Back to top button