Berapa ramai lagi harus jadi mangsa buli siber – Dr A Lingeshwaran
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr. A. Lingeshwaran menggesa tindakan drastik diambil bagi menangani masalah pembulian siber yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini.
Katanya, budaya buli siber sudah menjadi satu ancaman kepada negara sehingga ada yang sudah kehilangan nyawa.
Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan dan semua pihak untuk membanteras perbuatan itu.
“Buli siber telah mengorbankan banyak mangsa. Ada yang menjadi mangsa sehingga sanggup mengorbankan nyawa sendiri.
“Berapa ramai lagi anggota keluarga yang akan terkorban tindakan ini?
“Adakah kita sekadar melihat apa yang berlaku atau mahu melawan kegilaan ini dari segenap peringkat dan mengembalikan belas ihsan dalam masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Sebelum itu, Dr. Lingeshwaran mengucapkan takziah kepada keluarga Tik Toker, A Rajeswary atau Esha yang meninggal dunia dipercayai selepas dibuli secara dalam talian.
Esha ditemukan meninggal dunia pada 5 Julai di sebuah kondominium dekat Setapak di sini dipercayai selepas mengalami tekanan daripada pengguna media sosial.
Susulan itu, dua individu ditahan kerana disyaki melakukan buli siber terhadap Esha pada 8 dan 10 Julai lalu.
Pada 16 Julai lalu, seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.
Majistret Arunjothy M Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.