Politik

Noh Omar terkilan, dakwa program disabotaj

TANJONG KARANG – Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mendakwa ada pihak mensabotaj programnya yang sepatutnya diadakan di Institut Pengurusan Peladang, di sini semalam.

Kata Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, program yang sepatutnya diadakan pada semalam itu disabotaj oleh ahli UMNO sendiri.

“Semalam saya bukan mahu jumpa ahli UMNO, saya nak jumpa dengan kawan-kawan dan ingin ucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan kepada saya selama ini.

“Saya perlu mengenang budi orang Tanjong Karang terutamanya yang menyokong saya. Saya buat perjumpaan semalam itu buat jamuan ringan, ingin ucapkan terima kasih.

“Tetapi ada sabotaj. Saya dapat tahu daripada orang UMNO, saya dapat maklumat ini dia telefon orang tertentu dekat atas dan orang atas telefon kepada Ibu Pejabat Lembaga Pengurusan Peladang (LPP) Tanjong Karang jangan benarkan.

“Padahal itu bukan perjumpaan politik saya bukan ahli UMNO lagi, saya bukan wakil rakyat. Saya bukan ahli mana-mana parti pun. Kenapa saya nak buat majlis bertemu rakyat pun tak boleh?,” soalanya dengan nada yang tegas.

Tambah Noh lagi, sepatutnya pihak terbabit perlu berasa gembira dan menggadakan ‘majlis kesyukuran’ selepas beliau dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu.

“Jadi di Tanjong Karang ini saya tengok mungkin ada golongan-golongan yang rasa susah hati. Patutnya mereka gembira. Bertepuk tanganlah nak jadi Ketua Bahagian. Patut mereka ini buat ‘majlis kesyukuran’ sebab saya sudah dipecat.

“Tapi kenapa pula takut saya nak jumpa dengan orang Tanjong Karang ingin ucap terima kasih Itupun dihalang. Saya rasa terkilan dengan kumpulan yang masih takut dengan bayang-bayang sendiri.

Show More

Related Articles

Back to top button