Akmal Saleh bidas Kelvin Yii, tegas jangan campur isu hal ehwal Islam
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh menempelak Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berhubung isu pensijilan halal yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Dalam hantaran di Facebooknya, Akmal turut menasihati Yii agar mengajar pemimpin DAP supaya lebih beradab dan tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.
“Semak semula siapa yang mulakan isu ini. Sila ajar pemimpin senior kamu untuk beradab. Sarang tebuan jangan dijolok. Hal Melayu Islam jangan nak menyibuk.
“Kalau tak mahu kami di sini biadab, jangan celupar, jangan mencabar” katanya.
Sebelum ini, Yii menerusi kenyataannya menyelar Akmal yang mahu menampal logo ‘tidak halal’ pada dahi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
“Biarpun Kok membantah cadangan Jakim itu, Akmal sepatutnya menentang dengan fakta dan hujah, bukan menyerang secara peribadi.
“Kenyataan Akmal ini bukan sahaja biadab, tetapi juga bersifat seksis dan misoginis. Ini bukan sikap yang harus ditunjukkan oleh seorang pemimpin belia,” katanya seperti yang di lapor Malaysia Kini.
Tambah Yii, setiap isu yang melibatkan agama harus dibincangkan secara berhemah tanpa menyerang individu lain, apatah lagi melibatkan kenyataan yang boleh dianggap menghina.
Bagaimanapun, Akmal dalam kenyataan balasnya berkata, pihaknya bersedia bersahabat dengan sesiapa sahaja, namun akan bertindak balas jika adab dan susila tidak dijaga.
“Kami boleh bersahabat dengan sesiapa sahaja, dan kami akan balas dengan kebaikan kepada orang yang berbudi pekerti. Tetapi kalau kamu tiada pekerti dan hilang susila, mari kami tunjuk cara biadap dan kurang ajar yang sebenar.
“Malulah anak jantan kalau orang menjual kita tidak membeli,” katanya lagi.
Semalam, menerusi satu hantaran video di TikTok, Akmal melabelkan Teresa Kok sebagai “nyonya tua” dan mendesak agar beliau tidak mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.
“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Lebih baik kamu diam. Saya juga meminta kerajaan sediakan logo ‘tidak halal’ dan tampal dekat dahi nyonya tua ini,” katanya dalam video itu.
Kenyataan tersebut telah mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan sekutu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.yang tampil memberikan pendirian berbeza mengenai isu itu.