
Siapa kata saya nak bersara dari politik? – Ismail Sabri
BERA- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan khabar angin yang mendakwa beliau akan bersara dari arena politik apabila tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.
Ismail Sabri berkata, sebagai Ahli Parlimen Bera yang sah, beliau masih dan akan terus berkhidmat kepada masyarakat atas kapasiti ahli politik.
“Saya tidak kata nak bersara. Cuma tidak bertanding atas jawatan Naib Presiden.
“Sebagai Ahli Parlimen Bera pastinya saya masih aktif dalam politik. Tapi di Bera,” katanya selepas merasmikan Program Latihan Amal Bera Inter-Agensi dan Komuniti 2023 yang diadakan di Bera Waterfront, di sini, hari ini.
Ismail berkata, walaupun tidak mempertahankan jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, beliau masih menghantar borang untuk mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.
Beliau juga berkata, UMNO Bahagian Bera juga tidak menerima mana-mana borang pencalonan mencabar jawatan bagi Ketua Bahagian yang disandangnya.
“Sewaktu tarikh tutup pencalonan, saya difahamkan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Bera, hanya ada satu pencalonan sahaja yang dihantar melalui Bahagian Bera iaitu saya.
“Jadi kalau tidak ada orang lain yang hantar melalui tempat-tempat lain, jadi saya menang tanpa bertanding lah sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera,” kata beliau.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kemungkinan Ismail akan bersara dari dunia politik.
Ismail Sabri berkata, sebagai ahli yang bukan lagi dalam MKT, beliau akan mempunyai lebih kebebasan untuk memberi teguran kepada parti.
“Saya beri jaminan saya akan terus menegur dan memberi pandangan kepada parti kerana saya bebas. Lebih senang saya berada di luar kerana tidak terikat.
“Kerana jika ada sesuatu keputusan itu telah dibuat dan ada yang tidak setuju, tidak sesuai untuk saya tegur.
“Misalnya dalam keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa ahli parti, yang pada saya tidak melalui proses undang-undang,” katanya.
Sepanjang pentadbirannya, Ismail Sabri yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia berjaya mengembalikan keadaan ekonomi negara ke landasan terbaik selepas berjaya dalam fasa pandemik Covid-19.
Pada zaman beliau juga, negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus, yang tertinggi di Asia Tenggara.
Ahli Parlimen Bera itu telah membawa beberapa transformasi kepada bumiputera selain berjaya meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune