Politik

Pemimpin UMNO yang dibebaskan mahkamah patut saman Tommy Thomas – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO yang dibebaskan daripada pertuduhan rasuah digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Perkara tersebut dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mengatakan tindakan itu perlu diambil sebagai satu pengajaran kepada pihak yang mahu mengugut UMNO.

Katanya, tindakan saman boleh diambil bagi mengembalikan reputasi dan maruah UMNO yang tercalar berikutan pendakwaan politik terpilih berkenaan.

“Biar menjadi pengajaran bahawa Melayu-UMNO ini bangsa yang tidak pernah tunduk kepada ugutan, tidak mengemis belas kasihan, tidak melutut kepada kezaliman.

“Kita (Pemuda UMNO) nak angkat (tindakan saman) kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membiayai mereka ini,” tegasnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Januari lalu telah melepas dan membebaskan bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Ab Samad daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sebelum itu juga, pada 23 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Show More

Related Articles

Back to top button