Politik

MCA bidas UMNO bersikap lupakan kawan

BANGI – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas sikap UMNO sebagai rakan yang tidak lagi setia kawan apabila sanggup mempersoalkan parti komponen yang selama ini berjuang dan melalui ‘jatuh bangun’ bersama dalam politik.

Ka Siong berkata, ketika UMNO sibuk mengadakan hubungan dan menjalin pakatan baharu politik, MCA memutuskan untuk tidak campur tangan.

“Mereka (UMNO) sibuk membuat hubungan dan menjalin pakatan politik baharu. Kami (MCA) melihat perkembangan politik, tetapi memutuskan untuk tidak campur tangan dan menghentikannya.

“UMNO menemui rakan baharu (dalam PH, sedangkan sudah lama bertelagah). Kesetiaan parti ahli BN tiba-tiba dipersoalkan. (Sedangkan) kami tidak pernah mengkhianati gabungan itu,” katanya dalam satu temu bual Ka Siong dengan Sin Chew Daily.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan UMNO supaya tidak mempertikaikan kesetiaan MCA terhadap BN, walaupun dua Ahli Parlimen mereka menyokong Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Portal berita FMT memetik Ka Siong sebagai berkata ketika MCA mengkritik UMNO dan presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum kerajaan perpaduan ditubuhkan, beliau menafikan parti itu mengkhianati BN.

Sebaliknya, beliau berkata, UMNO meninggalkan prinsip utama BN iaitu berunding dan konsensus apabila memutuskan sama ada menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) selepas PRU-15 berakhir yang menyaksikan Parlimen tergantung.

Menurutnya UMNO harus berpegang teguh kepada semangat BN mengadakan perundingan dalam kalangan parti komponen, sembil menyifatkannya sebagai “semangat asal” BN.

“Tiada satu parti yang mempunyai semua hak untuk bersuara hanya kerana ia mempunyai lebih banyak undi atau lebih banyak kerusi daripada parti ahli lain. Kita (parti BN) semuanya sama rata,” katanya.

FMT melaporkan Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini mendedahkan Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, serta Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng, adalah antara 10 Ahli Parlimen BN yang menandatangani akuan berkanun menyokong Muhyiddin selepas PRU-15.

Beliau berkata, pendedahan identiti 10 Ahli Parlimen itu bukan tindakan balas dendam, tetapi mahu menjelaskan peristiwa yang menyebabkan UMNO dan BN menyertai kerajaan perpaduan.

Katanya, beliau difahamkan 10 yang menandatangani SD, kemudian menarik balik kerana keadaan tidak menentu berikutan keputusan pilihan raya belum dimuktamadkan.

Pada PRU-15 lalu, PH menang 82 kerusi , diikuti PN (74 kerusi), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Warisan (tiga).

Zahid kemudian membawa UMNO menyertai PH bagi membentuk Kerajaan Persekutuan sebelum diikuti gabungan parti dari Sarawak dan Sabah.

Show More

Related Articles

Back to top button