Politik

Muhyiddin gesa kerajaan bagi peruntukan kepada semua Ahli Parlimen di kawasan dilanda banjir

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang yang kawasan mereka dilanda banjir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, peruntukan terbabit bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen masing-masing.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang meluluskan segera peruntukan RM50 juta kepada Johor tetapi saya cadangkan ia dinaikkan kepada RM100 juta kerana keadaan banjir pada kali ini amat teruk,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu hujan lebat telah menyebabkan beberapa negeri terutamanya Johor mengalami banjir luar biasa.

Di Johor sahaja, sebanyak 44 jalan utama dan susur ditutup untuk semua jenis kenderaan melibatkan lapan daerah negeri ini akibat dinaiki air.

Selain itu, 14 sungai di tujuh daerah diletakkan bawah kategori paras air berbahaya antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Johor.

Dalam pada itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula menunjukkan beberapa daerah menunjukkan amaran hujan berterusan tahap waspada iaitu Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Show More

Related Articles

Back to top button