PH mendahului PRK Pulai, PN dahului undi pos di Simpang Jeram
MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat mendahului dengan selesa kiraan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu meraih1,292 undi setakat pukul 7.30 malam ini.
Utusan Malaysia melaporkan, Suhaizan meninggalkan pencabarnya yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar (877) dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (14).
Parlimen Pulai menyaksikan seramai 166, 653 pengundi yang layak melakukan pemilihan yang terdiri daripada 44.17 peratus kaum Melayu, Cina (40.47%), India (12.30%) dan lain-lain (30.5%).
PRK Parlimen Pulai diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 31,726 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong meraih 20,677 undi.
Sementara itu, bagi PRK Simpang Jeram, calon PN mendahului kiraan undi melalui undi pos, lapor Astro Awani.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, sebanyak 61 kertas undi telah dikembalikan daripada jumlah keseluruhan 78 kertas undi pos yang dikeluarkan.
Daripada jumlah itu, calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya mendapat 36 undi, diikuti calon PH, Ir Nazri Abdul Rahman (25 undi) manakala calon Bebas, S Jeghanathan tidak mendapat sebarang undian.
Lima kertas undi ditolak dan 12 lagi tidak dikembalikan.
Setakat jam 7 malam, hanya dua peti undi pos dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar manakala peti undi daripada 68 saluran di semua 14 pusat mengundi belum tiba.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune