Hilang empat hari: Wanita hidap kanser ditemui meninggal dunia dalam kereta
BENTONG – Seorang wanita pesakit kanser yang hilang selama empat hari, akhirnya ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang diletakkan di hadapan sebuah klinik di sini, kelmarin.
Bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu, Normashita Abd. Manaf, 50, ditemukan oleh orang awam di tempat duduk hadapan kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mengiring ke kiri.
Difahamkan mangsa menghidap kanser hati serta beberapa penyakit lain dipercayai cuba pergi ke klinik berhampiran akibat masalah semput yang dialami.
Rakan karib mangsa, Razita Razali, 41, berkata, Allahyarhamah yang menetap bersama adiknya di Shah Alam pernah berkata mahu tinggal 10 hari di Bentong.
“Saya tidak sangka itu petanda arwah akan pergi buat selamanya.
“Saya kesal tidak sempat bertemu arwah kerana baru kehilangan ibu dan abang yang meninggal dunia minggu lalu,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Tambahnya, dia juga berasa ralat kerana tidak dapat menemani arwah ke Pekan untuk berubat secara tradisional menyebabkan mangsa memandu sendiri ke sana.
Menurut Razita lagi, Allahyarhamah ke Bentong dan tinggal di rumah pusaka keluarganya di Bukit Piatu di sini bagi menguruskan pencen ilat.
“Ini kerana Allahyarham telah menamatkan perkhidmatan awal kerana masalah kesihatan.
“Allahyarhamah seorang yang mesra dan periang ketika mengajar kelas masakan di Kemas Bentong,” katanya lagi.
Razita juga memberitahu, arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak di Bentong kira-kira pukul 9 pagi semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
