Tuai rumah ditemukan lemas selepas perahu karam di Sungai Bayai
KUCHING – Misteri kehilangan seorang tuai rumah yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya bersama menantu karam di Sungai Bayai, berhampiran Loji Rawatan Air Bayai, Sri Aman semalam, terjawab apabila mayatnya ditemui awal pagi tadi.
Mangsa, Banggau Ngilas, 71, dijumpai orang awam kira-kira pukul 3.48 pagi pada jarak 200 meter dari lokasi bot karam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama menantunya, Roys Misen, 36, menaiki perahu sarat dengan buah kelapa sawit dalam perjalanan pulang dari ladang.
“Ketika berada di tengah sungai, perahu mereka terlanggar kayu hanyut menyebabkan hilang kawalan lalu karam.
“Roys berjaya berenang ke tebing sungai, manakala bapa mentuanya dihanyutkan arus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman pada pukul 10.10 pagi semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bersama polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Bagaimanapun, operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6 petang berikutan keadaan gelap sebelum dimaklumkan semula oleh Ketua Polis Balai Sri Aman bahawa mayat mangsa ditemui awal pagi.
Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





