RENCANA

Terapi bunyi: Kembalikan keseimbangan jiwa dan raga

DALAM kehidupan moden yang serba pantas, tekanan dan keletihan mental sering menjadi punca kepada pelbagai gangguan kesihatan. Ramai kini mencari kaedah alternatif yang lebih semula jadi untuk memulihkan tenaga dalaman serta menenangkan minda.

Antara pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah terapi bunyi, satu kaedah penyembuhan yang menggunakan getaran dan frekuensi bunyi bagi membantu menyeimbangkan minda, emosi dan tubuh badan.

Terapi bunyi berasaskan prinsip bahawa segala sesuatu di alam ini termasuk tubuh manusia memiliki getaran semula jadi tersendiri. Namun apabila frekuensi ini terganggu akibat tekanan, emosi negatif atau ketidakseimbangan tenaga, tubuh mula menunjukkan reaksi seperti keletihan, kebimbanganatau gangguan tidur.

Melalui terapi bunyi, getaran dan frekuensi tertentu digunakan untuk mengembalikan keharmonian semula jadi tubuh, membantu individu mencapai ketenangan dan keseimbangan yang lebih mendalam.

Menurut Pengarah Urusan JMD Wellness Sdn Bhd, S. Muhammad Gadaffi Syed Ali, terapi bunyi bukan sekadar rawatan alternatif tetapi satu perjalanan penyembuhan menyeluruh yang melibatkan minda, tubuh dan jiwa.

Beliau sendiri merupakan contoh kekuatan dan keajaiban terapi ini setelah melalui pelbagai cabaran kesihatan.

“Saya pernah diserang strok pada tahun 2018 dan mengalami lump throat (lumpuh tekak) pada tahun yang sama. Pada tahun 2023, saya pula disahkan mempunyai polip dan diserang sakit jantung sebanyak dua kali. Semua ini benar-benar mengubah cara saya melihat kehidupan dan kesihatan diri.

“Dari situ, saya mula mencari pendekatan penyembuhan yang lebih lembut dan semula jadi. Alhamdulillah, terapi bunyi banyak membantu saya menenangkan sistem saraf, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti hidup saya,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Terapi bunyi bukan sekadar rawatan alternatif tetapi satu perjalanan. penyembuhan menyeluruh yang melibatkan minda, tubuh dan jiwa.
Pengarah Urusan JMD Wellness Sdn Bhd, S. Muhammad Gadaffi Syed Ali melakukan terapi bunyi.

Dalam sesi terapi bunyi, pelbagai alat digunakan seperti mangkuk kristal, gong, garpu tala, loceng Tibet atau alunan suara manusia.

Setiap bunyi yang dihasilkan mempunyai frekuensi getaran tersendiri yang mampu menembusi lapisan minda bawah sedar, membantu melepaskan ketegangan dalaman dan menyelaraskan semula tenaga tubuh.

Alunan bunyi yang harmoni ini bukan sahaja menenangkan emosi, malah memberi ruang kepada tubuh untuk memperbaiki dirinya secara semula jadi.

Gadaffi menjelaskan bahawa terapi bunyi bukan sekadar rawatan fizikal tetapi juga satu bentuk latihan spiritual. Ia mengajar individu untuk kembali mendengar dirinya sendiri bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan hati.

Pengarah Urusan JMD Wellness Sdn Bhd, S. Muhammad Gadaffi Syed Ali menggunakan peralatan untuk terapi bunyi.

“Apabila kita belajar mendengar bunyi dari dalam diri dan alam sekeliling, kita sebenarnya sedang menyambung semula hubungan dengan tenaga kehidupan. Dari situ, penyembuhan berlaku dengan lebih mendalam dan menyeluruh,” katanya lagi.

Selain itu, Gadaffi yang juga dikenali sebagai Abib Gadaffi merupakan pelatih bertauliah dan mempunyai Accredited Trainer daripada HRDCorp merupakan orang Melayu pertama yang menceburi bidang terapi kesejahteraan minda dan jiwa menggunakan terapi bunyi di Malaysia.

Dengan pengalaman peribadinya yang penuh cabaran, Abib Gadaffi kini bertekad membantu lebih ramai individu yang memerlukan khidmat nasihat dari sudut mental well-being dan terapi bunyi.

Beliau turut giat menjalankan kajian mengenai proses pemulihan yang berkesan semasa sesi perkongsian bersama klien, di samping sedang berbincang dengan pihak institusi pengajian tinggi bagi mendapatkan pengiktirafan rasmi terhadap usaha tersebut.

Hari ini, semakin ramai mula menyedari bahawa kesejahteraan tidak hanya bergantung kepada rawatan perubatan moden, tetapi turut melibatkan keharmonian antara tubuh, minda dan jiwa.

Terapi bunyi membuka jalan ke arah kesedaran baru ini mengembalikan manusia kepada keseimbangan asalnya, di mana ketenangan dan kesihatan berjalan seiring.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button