Syafiq Kyle, Blood Brothers harumkan nama Malaysia di APFF62
KUALA LUMPUR – Nama Malaysia kembali bergema di pentas antarabangsa apabila filem aksi tempatan Blood Brothers: Bara Naga dan pelakon versatil Syafiq Kyle mencuri perhatian pada Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Kuala Lumpur, kelmarin.
Blood Brothers: Bara Naga diangkat menerima Anugerah Istimewa Juri, sementara Syafiq Kyle pula mencatat pencapaian peribadi membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Rising Icon APFF (Kategori Lelaki).
Dua kejayaan itu mengangkat martabat perfileman dan bakat lakonan Malaysia di rantau Asia Pasifik.
Penganjuran APFF62 oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) dengan kerjasama FINAS, Tourism Malaysia dan Lomo Pictures itu menyaksikan himpunan terbesar karyawan filem, selebriti antarabangsa dan tenaga kreatif dari seluruh rantau dalam suasana penuh gemilang.

Penyertaan kali ini melibatkan Iran, Jepun, Nepal, Indonesia, Singapura, China, Bangladesh, Korea, India dan Thailand.
Setiausaha Agung FPA, Pansha berkata, pemilihan Syafiq dibuat secara sebulat suara berdasarkan prestasi konsisten dan pengaruhnya dalam industri perfileman tanah air.
“Anugerah ini diperkenalkan tahun ini untuk menaikkan lagi taraf APFF. Kami memilih Syafiq kerana mahu memberi ruang kepada pelakon muda yang menyerlah bukan hanya mengiktiraf nama veteran saban tahun,” katanya.
Pada masa sama, Blood Brothers: Bara Naga muncul antara penyertaan paling mencuri perhatian dalam persaingan 12 filem yang tercalon.
Antara karya lain yang bertanding termasuk 6AM, Crocodile Tears, Happyend, LUZ, Shambhala, Saba, The Roots, Shadowbox dan Regretfully at Dawn.
Selain Syafiq Kyle, dua tokoh antarabangsa turut diberi penghormatan utama iaitu aktor legenda Hong Kong, Simon Yam menerima Lifetime Achievement Award, manakala bintang muda Thailand, Tontawan Tantivejakul, diiktiraf dengan FPA Asia-Pacific Rising Icon Award (Kategori Wanita).

APFF62 turut menobatkan beberapa penerima lain, antaranya:
FPA Most Promising Icon Award: Lin Min Chen (Malaysia)
FPA Cultural Impact Award: Kungfu Juniors arahan Gao Zhisen
Penganjuran tahun ini sekali lagi membuktikan kekuatan sinema Asia Pasifik dan peranan Kuala Lumpur sebagai hos bertaraf antarabangsa yang memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri kreatif serantau.
Senarai Pemenang APFF62
Filem Pendek Terbaik: Come Find Me
Media Baharu Terbaik: –
Skor Muzik Asal Terbaik: Shambhala
Suntingan Terbaik: LUZ
Skrip Asal Terbaik: Shadowbox
Sinematografi Terbaik: Happyend
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Rokeya Prachy – Saba
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Xiao Dong Guo – LUZ
Pelakon Wanita Terbaik: Tillotama Shome – Shadowbox
Pelakon Lelaki Terbaik: Yukito Hidaka – Happyend
Pengarah Terbaik: Neo Sora – Happyend
Filem Terbaik: Crawling Crows: AANKHA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

