BERITA SEMASA

Rider Lalamove selamatkan kanak-kanak terjatuh dalam longkang

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke dalam longkang yang dalam akibat penutup longkang patah dalam kejadian di Jalan Gurney, Datuk Keramat pada 15 Disember lalu.

Kejadian itu dikongsikan seorang penghantar Lalamove menerusi satu hantaran dalam Facebook Grup Khas Warga Hulu Langat.

Beliau memaklumkan terdengar suara kanak-kanak menangis sebaik tiba di kawasan bangunan Balai Felda untuk menghantar pesanan.

Menurut perkongsian tersebut, kanak-kanak berkenaan dipercayai terperangkap hampir setengah jam di dalam longkang selepas papan penutup lubang longkang patah, sebelum disedari orang awam.

“Cari punya cari, rupanya ada seorang budak lelaki di dalam longkang yang dalam. Nasib baik tak hujan ketika kejadian,” menurut hantaran berkenaan.

Rider terbabit terpaksa menahan kenderaan yang melalui kawasan tersebut bagi mendapatkan bantuan orang ramai untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan selamat selepas berjaya dikeluarkan dari longkang.

Susulan kejadian itu, orang awam menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menutup semula lubang longkang berkenaan dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Perkongsian itu dimuat naik oleh pengguna Facebook, Asru Tuan Aliwi dan mendapat perhatian ramai netizen yang memuji keprihatinan serta tindakan pantas rider berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button