RENCANABISNES & EKONOMI

Pulut Panggang Husnanana: Resipi warisan Maksu Bunga

TERLETAK di tepi jalan besar Kampung Jenderam Hilir, gerai Pulut Panggang Warisan Husnanana sering menjadi tumpuan pelanggan.

Beroperasi sejak 10 tahun lalu, perniagaan kecil ini berjaya menghidupkan warisan keluarga dan membawa nostalgia rasa tradisional pulut panggang yang enak.

Habibah dan suaminya, Azlan bersama cucu mereka, Husna gigih mencari rezeki dengan berniaga secara kecil-kecilan.

Diusahakan oleh pasangan suami isteri, Habibah Wahid dan Azlan Aman Shah, ia menggunakan resipi turun-temurun arwah ibu Habibah, Bunga Salleh atau lebih dikenali sebagai Maksu Bunga dari Kampung Ulu, Kulim, Kedah.

Pulut panggang ini dihasilkan dengan penuh teliti, bermula dengan kukusan pulut yang lembut, disusuli inti kelapa yang dimasak bersama udang kering, serai, lengkuas, jintan manis dan cili kering.

Gabungan ini mencipta rasa unik yang memikat.

“Kami pastikan resipi arwah mak dikekalkan. Dari segi saiz, rasa dan inti yang padat, semuanya sama seperti dahulu,” kata Habibah yang mula membantu ibunya berniaga sejak berumur 14 tahun.

Wanita berusia 47 tahun ini mewarisi resipi pulut panggang arwah ibunya, Maksu Bunga dari Kulim, Kedah.

Kini pada usia 47 tahun, Habibah meneruskan legasi tersebut bersama keluarganya.

“Saya ada tiga beradik. Dua lagi abang tak minat berniaga. Jadi saya teruskan legasi perniagaan arwah mak ini.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada pelanggan sangat menggalakkan,” ujar Habibah atau mesra dipanggil Kak Bib kepada Malaysia Tribune.

Dijual pada harga RM1.50 sebatang, pelanggan pasti akan berpuas hati dengan saiz dan keenakan pulut panggang ini.

Bagi memastikan pulut panggang yang dijual menawarkan rasa yang asli dan konsisten, Habibah dan keluarganya memulakan kerja seawal pagi untuk menyediakan bahan-bahan termasuklah mendapatkan daun pisang segar.

“Dulu di kampung, kami bakar guna tempurung kelapa. Tapi sekarang, walaupun penyediaan renyah, sambutan pelanggan membuatkan kami rasa berbaloi,” jelasnya.

Setiap batang pulut panggang dijual pada harga RM1.50 meskipun kos bahan mentah meningkat.

“Kami cuba kekalkan kualiti dan rasanya pada harga berpatutan, walaupun dulu harganya seringgit sahaja,” tambah Habibah.

Hans yang berasal dari Terengganu antara pelanggan setia pulut panggang yang dibuat Habibah kerana rasanya yang asli.

Katanya, pada hari biasa, sebanyak 200 batang pulut panggang dapat dijual manakala jumlahnya lebih tinggi pada Sabtu dan Ahad.

Selain jualan harian, Pulut Panggang Husnanana turut menerima tempahan untuk kenduri kahwin dan majlis-majlis lain.

Lebih menarik, mereka juga menyediakan versi frozen untuk pelanggan yang ingin menikmatinya di rumah.

Salah seorang pelanggan tetap Pulut Panggang Warisan Husnanana, Hans memuji keaslian rasanya.

“Saya suka pulut panggang ini sebab rasanya memang asli dari utara. Tak jumpa di tempat lain,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Signboard Pulut Panggang Warisan Husnanana boleh dilihat dari jalan besar di Kampung Jenderam Hilir.

Dalam pada itu, Habibah yang mempunyai lapan orang anak bersyukur kerana anak-anaknya menunjukkan minat yang baik terhadap perniagaan itu.

“Kami mahu pastikan rasa pulut panggang ini terus kekal untuk generasi akan datang,” katanya penuh semangat.

Untuk menikmati sendiri keenakan Pulut Panggang Husnanana, anda boleh singgah di Jenderam Hilir bersebelahan Restoran Aman Shah atau hubungi mereka di talian 019-6183813.

Pastinya, pulut panggang ini bukan sekadar juadah biasa tetapi mampu mengimbau memori pada sajian-sajian tradisional yang dimasak dengan penuh keikhlasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button