Polis Pulau Pinang tumpaskan sindiket pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2026
GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membongkar dua pusat operasi pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026 menerusi dua serbuan berasingan di Gelugor dan Butterworth yang membawa kepada penahanan sembilan individu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Soga XI yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini bagi membanteras kegiatan perjudian bola sepak di seluruh negeri.
Menurut beliau, serbuan pertama dijalankan pada 26 Jun di sebuah unit kondominium di Gelugor yang membawa kepada penahanan empat individu terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 44 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis tersebut sebagai pusat operasi bagi menguruskan akaun pelanggan, menyelia transaksi dan mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian menerusi laman sesawang 137.com,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa komputer, telefon bimbit serta pelbagai peralatan elektronik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Dalam serbuan kedua di sebuah unit kondominium di Marminton Homes, Butterworth semalam, polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 41 tahun yang dipercayai mengendalikan pertaruhan bola sepak Piala Dunia menerusi laman sesawang Nova88.
Katanya, sindiket itu menggunakan kediaman berkenaan sebagai pusat operasi atau calling centre bagi mengurus akaun pelanggan, menerima dan menyelia pertaruhan bola sepak secara dalam talian selain memberikan khidmat sokongan kepada pelanggan menggunakan komputer dan telefon yang disambungkan kepada platform perjudian.
“Dalam serbuan itu kami merampas enam komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem Internet serta pelbagai peralatan komputer yang digunakan dalam kegiatan pertaruhan tersebut,” katanya.
Dennis berkata, kesemua suspek direman sehingga 1 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Menurutnya, sepanjang Ops Soga XI, Polis Pulau Pinang telah melaksanakan 21 serbuan dengan penahanan 28 individu, selain merampas wang tunai berjumlah RM8,935 bersama pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
“Polis Pulau Pinang akan terus mempergiat Ops Soga XI sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan kepada pengesanan calling centre, ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal atau dalam talian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







