
PM perkenal Model Cherok Tok Kun bantu selesai masalah rakyat
SEBERANG PRAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Model Cherok Tok Kun sebagai usaha untuk
menyelesaikan masalah rakyat di kawasan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi projek perintis itu beliau akan memantau secara langsung pembangunan di kawasan itu.
“Menerusi projek perintis ini, saya akan memantau secara langsung masalah dan keperluan rakyat di sini sama ada isu kemiskinan, pengangguran, kos sara hidup, kesihatan, pendidikan, jenayah mahupun infrastruktur seperti baik pulih dan pembinaan masjid.

“Rakyat Cherok Tok Kun perlu berbincang dan laporkan semua masalah ini secara terus kepada saya, dan insya-Allah saya akan bantu menyelaras bantuan dan peruntukan kerajaan, sekali gus menyelesaikan isu-isu berbangkit,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.
Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan bersama pimpinan masyarakat, jawatankuasa masjid dan wakil-wakil persatuan dari kawasan Cherok Tok Kun pagi tadi.
Anwar berkata, pertemuan sekitar satu jam ini tidak sekadar menyentuh soal pembangunan di Cherok Tok Kun tetapi turut membentangkan perancangan bagi menangani masalah dihadapi setiap penduduk di kampung ini menerusi Model Cherok Tok Kun.

Dalam pada itu Anwar berkata, sekiranya projek ini berjaya menangani isu di Cherok Tok Kun, beliau akan mewajibkan semua menteri, timbalan menteri, pimpinan kanan kerajaan serta ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut melaksanakan model sama di kampung halaman masing-masing.
“Insya-Allah perihal projek ini akan saya bentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada Rabu depan.
“Saya memilih pendekatan ini kerana mahu semua pimpinan kerajaan memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat. Tiada guna bicara soal ekonomi dan pelaburan berbilion ringgit jika masalah-masalah harian rakyat tidak mampu kita tangani,” katanya lagi.
Anwar juga berharap agar Model Cherok Tok Kun akan merintis jalan penyelesaian tuntas terhadap isu-isu yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








