Pendidikan, kesihatan antara enam resolusi utama calon PH Moyog
PENAMPANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Remysta Jimmy Taylor membentangkan enam resolusi utama untuk membangunkan kawasan itu dan meningkatkan kesejahteraan penduduk sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata, antara resolusi itu ialah program tuisyen percuma bagi pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di DUN berkenaan.
“Bila ambil SPM, tuisyen percuma. Kita mahu anak-anak dan adik-adik di Moyog mendapat pendidikan setara dengan kawasan lain.
“Dengan keputusan yang baik, mereka boleh masuk universiti yang bagus, mencari pekerjaan baik dan seterusnya meningkatkan taraf hidup serta ekonomi keluarga,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Mega Remysta HARAPAN, di sini malam tadi.
Majlis turut dihadiri Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan.
Bagi memperkasakan TVET, Remysta berikrar akan membawa lebih banyak kursus kemahiran melalui kolej komuniti, Institusi Latihan Perindustrian (ILP) dan GiatMARA untuk membuka peluang pekerjaan kepada belia Moyog.
Beliau turut membentangkan resolusi berkaitan kesihatan termasuk penambahan klinik bergerak di kawasan seperti Kibaboig, Terowi, Pogunon, Timpangoh dan Maang bagi pemeriksaan asas serta rawatan segera.
Remysta juga berhasrat memperjuangkan pembinaan Hospital Penampang yang moden dan dilengkapi peralatan perubatan terkini bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu sekali gus memastikan akses rawatan lebih dekat untuk penduduk Moyog.
Selain itu, beliau menekankan komitmen untuk mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir dan menjadikan Moyog sebagai hab pelancongan bagi memacu pendapatan komuniti setempat.
DUN Moyog yang terletak dalam Parlimen Penampang antara 73 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Sabah ke-17 yang akan berlangsung Sabtu ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










