BERITA SEMASAPOLITIK

‘Kemenangan ini adalah amanah’ – Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki Aksan menyifatkan kemenangan beliau sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa sebagai satu amanah yang besar.

“Kemenangan ini adalah suatu amanah yang amat besar – bukan sekadar satu kejayaan peribadi, tetapi simbol suara ahli yang mahu melihat nafas baharu dalam kepimpinan tempatan dan yang mahu politik menyentuh hati dan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di Facebook, hari ini.

Menurut beliau, kejayaan itu bukan miliknya seorang tetapi usaha dan iltizam jentera kempen seiring semangat satu pasukan yang percaya deng an satu objektif iaitu agenda memantapkan parti.

Afdlin juga menganggap kejayaan itu bukan miliknya seorang tetapi usaha dan iltizam jentera kempen seiring semangat satu pasukan dalam agenda memantapkan parti.

“Kemenangan ini bukan untuk diraikan dengan sorak gembira, tetapi untuk direnung sebagai titik mula perjuangan yang lebih besar,” tegasnya.

Tanpa melupakan peranan pemimpin terdahulu, Afdlin turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad di atas jasa dan sumbangan beliau kepada Cabang Setiawangsa.

“Beliau adalah seorang tokoh reformasi yang berwibawa dan berintegriti dan sumbangannya tidak akan dilupakan oleh warga cabang ini.

“Saya juga menjemput seluruh penyokong YB Nik untuk bersama-sama memperkasakan Cabang Setiawangsa.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, tetapi selepas tamatnya pemilihan, yang tinggal hanyalah satu matlamat iaitu membina kekuatan parti dan berbakti kepada ahli serta masyarakat,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Afdlin turut memberi jaminan bahawa cabang itu akan terus memberi sokongan penuh kepada Nik Nazmi dalam kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa untuk melaksanakan agenda reformasi di peringkat nasional.

Mengulas isu kontroversi yang cuba dikaitkan dengan dirinya, termasuk dakwaan berhubung projek DBKL, Afdlin mengakui fitnah tersebut tidak mengganggu-gugat kepercayaan ahli terhadapnya.

“Saya yakin ahli lebih bijak menilai dan mereka memilih keikhlasan serta rekod khidmat, bukan persepsi murahan.

“Sebagai anak seni yang lahir daripada masyarakat dan sentiasa bersama rakyat, saya akan terus menggunakan pengalaman saya dalam mengurus yayasan, kerja kemasyarakatan, pendidikan seni dan aktiviti sosial untuk memperkasa cabang ini.

“Dengan semangat ‘Mesra Setiawangsa’, saya mahu kita menjadi contoh kepada seluruh negara bahawa politik boleh menjadi wadah kasih sayang, perpaduan dan solusi,” tegasnya lagi.

Afdlin mencipta sejarah dalam pemilihan tersebut selepas memperoleh 631 undi berbanding 563 yang diraih Nik Nazmi untuk diumumkan sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button