BERITA SEMASA

JPA salur RM1.46 juta tingkat kemudahan sekolah, kampung di Perak

GOPENG – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperuntukkan sebanyak RM1.465 juta menerusi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI bagi meningkatkan kemudahan asas komuniti serta prasarana pendidikan di Perak.

Jurucakap JPA berkata, pelaksanaan program itu bertujuan merapatkan jurang kemudahan di kawasan separa bandar dan luar bandar, selain menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif serta moden kepada murid.

“Pelaksanaan program ini bertujuan merapatkan jurang kemudahan di kawasan separa bandar dan luar bandar, di samping menyediakan akses pembelajaran yang lebih kondusif serta moden kepada anak-anak sekolah,” memetik Harian Metro Online.

Menurutnya, peruntukan berkenaan disalurkan secara bersasar kepada dua lokasi terpilih iaitu komuniti Kampung Kota Baharu di daerah Kampar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar.

“Bagi sektor pendidikan, sebahagian dana digunakan untuk membaik pulih dan menaik taraf makmal komputer, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta makmal sains di SMK Malim Nawar.

“Usaha itu bertujuan memperkukuh kemudahan pembelajaran berteraskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus memberi pendedahan lebih baik kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, pembangunan di Kampung Kota Baharu melibatkan kerja pembaikan Masjid Jamek, kemudahan klinik kesihatan, balai polis komuniti, dewan orang ramai serta astaka sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Baharu.

Inisiatif berkenaan turut dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pemasangan lampu jalan menggunakan tenaga solar.

Kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) pula membabitkan pembinaan sebuah dewan serba guna baharu bagi memenuhi keperluan aktiviti masyarakat setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button