JHEAIPP nafi guna duit tabung masjid anjur Piala TKM I Pulau Pinang
GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menolak dakwaan bahawa wang kutipan tabung masjid digunakan bagi menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala Timbalan Ketua Menteri I (TKM I) Pulau Pinang.
Pengarahnya, Marzuki Hassan menegaskan, program berkenaan dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan khas pengimarahan masjid yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan bukannya daripada sumbangan orang ramai menerusi tabung masjid.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada JHEAIPP bagi tahun 2025 khusus untuk tujuan pengimarahan masjid, melibatkan agihan kepada tujuh masjid di negeri itu dengan jumlah sama turut diperuntukkan pada tahun ini.
“Sebagai satu daripada inisiatif pengimarahan masjid dengan penglibatan anak-anak kariah, JHEAIPP telah mengesyorkan penganjuran Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala TKM I Pulau Pinang bagi mengeratkan hubungan anak muda dengan institusi masjid serta memperkukuh ukhuwah sesama anak kariah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Marzuki berkata, cadangan penamaan Piala TKM I itu juga dikemukakan oleh pihak JHEAIPP sendiri memandangkan Timbalan Ketua Menteri I merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Hal Ehwal Agama Islam negeri, selaras dengan portfolio yang disandang.
Bagi menjayakan penganjuran program tersebut, lima masjid iaitu Masjid Abdullah Fahim, Masjid Daerah Timur Laut, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) masing-masing menyumbangkan RM6,026.26 daripada peruntukan pengimarahan, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,131.30.
“JHEAIPP ingin menegaskan bahawa penganjuran pertandingan ini sama sekali tidak menggunakan wang kutipan tabung masjid, sebaliknya menggunakan peruntukan khas pengimarahan yang disalurkan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau menambah, penganjuran program sedemikian merupakan sebahagian daripada usaha memperluas fungsi masjid sebagai pusat pembangunan ummah yang menyeluruh, bukan sahaja dari sudut rohani malah merangkumi aspek sosial dan pembinaan jati diri generasi muda.
Terdahulu aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menerusi hantaran di Facebook mendakwa pertandingan bola sepak Piala TKM I Pulau Pinang dianjurkan menggunakan duit masjid.
Semalam, beliau juga telah membuat laporan berhubung dakwaan kes salah laku tersebut di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

