Indonesia nafi beri akses ruang udara tanpa had kepada AS
JAKARTA – Kementerian Pertahanan Indonesia menolak dakwaan bahawa Amerika Syarikat (AS) diberi akses tanpa had ke ruang udara negara itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Rico Ricardo Sirait dalam satu kenyataan menegaskan, Inodenia masih berkuasa penuh terhadap kawalan ruang udaranya, lapor agensi ANTARA.
“Kementerian menegaskan bahawa kuasa, kawalan dan pemantauan ke atas ruang udara negara ini terletak sepenuhnya pada pemerintah Indonesia,” katanya dalam kenyataan tersebut, semalam.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan draf perjanjian antara Jakarta dan Washington yang mencadangkan pesawat AS akan mempunyai akses penuh ke ruang udara Indonesia.
Rico berkata, sebarang pelan kerjasama pertahanan dengan negara lain dinilai dengan teliti dan mesti memberi manfaat kepada Indonesia.
“Perjanjian sedemikian mesti mengutamakan kepentingan negara dan mematuhi undang-undang negara dan antarabangsa yang terpakai,” tambahnya.
Tambahnya, sekiranya perjanjian itu tidak menguntungkan, pemerintah berhak untuk menolaknya dan mengekalkan kawalan penuh kedaulatan.
Beliau dalam masa sama turut menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan maklumat yang beredar di media sosial.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mengumumkan perkongsian pertahanan utama dengan Indonesia susulan pertemuan dengan menteri pertahanannya di Pentagon.
“Kami sedang meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama sebagai pengiktirafan terhadap kekuatan dan potensi hubungan pertahanan dua hala kami,” kata Hegseth dalam satu kenyataan di platform X.
“Perkongsian ini merangkumi pemodenan ketenteraan dan pembinaan kapasiti, latihan dan pendidikan ketenteraan profesional serta latihan dan kerjasama operasi,” kata Hegseth dalam hantaran tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








