Elak 5 kesilapan ini untuk bersara dengan tenang
“DUIT gratuiti dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan untuk dihabiskan dalam masa beberapa bulan. Ia adalah hasil kerja keras berpuluh tahun.”
Demikian tegas seorang pesara kerajaan, Ir. Zainuddin Omar ketika berkongsi tentang kesilapan yang sering dilakukan individu yang baru bersara daripada perkhidmatan.

Melalui satu perkongsian di Facebook baru-baru ini, Zainuddin menzahirkan rasa syukur kerana dapat menjalani kehidupan persaraan dengan tenang hasil persediaan rapi yang dilakukan sejak masih bekerja.
“Saya telah bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan sejak lebih 10 tahun yang lalu.
“Alhamdulillah, tempoh persaraan saya dilalui dengan penuh ketenangan kerana persediaan mental, fizikal dan kewangan telah saya lakukan sejak masih dalam perkhidmatan lagi.
“Namun, sepanjang pemerhatian saya, ramai rakan-rakan seperkhidmatan melakukan kesilapan besar sebaik sahaja melangkah ke alam persaraan,” tulis Zainuddin yang merupakan bekas jurutera.
Berikut antara lima kesilapan lazim yang sering dilakukan pesara baharu:
1. Melabur Dalam Skim dan Perniagaan Berisiko Tinggi
Antara kesilapan paling besar ialah menyertai pelaburan atau perniagaan yang menjanjikan pulangan segera.

Keghairahan mengembangkan wang gratuiti atau pengeluaran KWSP sering menyebabkan ramai terjerat dalam penipuan kewangan atau projek gagal.
“Ada yang melabur RM100,000 dalam syarikat kontraktor kelas F yang akhirnya muflis dan seorang lagi rakan rugi RM500,000 dalam skim kripto,” kongsi beliau.
Ramai juga jadi mangsa ‘peluang pelaburan’ yang ditawarkan oleh kenalan atau saudara sendiri. Malangnya, tanpa pengetahuan mendalam, pelaburan itu berakhir dengan kerugian besar dan akhirnya mereka terpaksa kembali bekerja walaupun telah melepasi usia emas.
2. Mengubahsuai Rumah Secara Berlebihan
Selepas bersara, ramai teruja menambah bilik atau membesarkan rumah kononnya untuk keselesaan anak-anak ketika pulang beraya. Hakikatnya, selepas musim perayaan berlalu, rumah kembali sunyi.
Pengubahsuaian besar yang menelan ratusan ribu ringgit itu akhirnya tidak memberi manfaat jangka panjang, sebaliknya mengurangkan simpanan yang sepatutnya menjadi pelindung pada hari tua.
3. Menganjurkan Majlis Perkahwinan Anak Secara Besar-Besaran
Meraikan anak yang mendirikan rumah tangga sememangnya satu detik membahagiakan. Namun, ia tidak sewajarnya dilakukan secara berlebihan sehingga menggadaikan simpanan persaraan.

“Ada yang sanggup habiskan simpanan untuk kenduri mewah di hotel, tapi akhirnya pasangan muda itu bercerai hanya selepas beberapa bulan,” katanya.
Majlis sederhana, penuh keberkatan, jauh lebih bermakna berbanding kenduri besar yang membebankan ibu bapa.
4. Tidak Merancang Pelunasan Hutang Sebelum Bersara
Antara asas penting untuk bersara dengan tenang ialah bebas hutang. Malangnya, ramai yang bersara dengan beban pinjaman rumah atau kereta yang masih belum selesai hingga wang gratuiti terpaksa digunakan untuk membayar hutang.
“Saya sendiri berazam lunaskan semua hutang sebelum umur 50 dan berjaya lakukannya pada usia 48 tahun. Alhamdulillah,” ujar beliau.
Justeru, perancangan awal semasa dalam perkhidmatan sangat penting agar tidak perlu bersara dalam keadaan masih dibelenggu komitmen kewangan.
5. Mengabaikan Persediaan Kos Perubatan
Dengan usia yang semakin lanjut, aspek kesihatan tidak boleh dipandang ringan. Walaupun hospital kerajaan menawarkan rawatan pada kos rendah, sesetengah pesara lebih selesa mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Namun, tanpa perlindungan insurans perubatan, ia boleh menelan belanja besar. Justeru, ambil pelan perlindungan kesihatan sejak masih bekerja agar tidak perlu menggunakan simpanan persaraan untuk membayar bil rawatan.
Bersara Dengan Bergaya, Bukan Derita
Wang persaraan adalah hasil titik peluh selama puluhan tahun. Jangan sia-siakan ia dengan keputusan terburu-buru atau kerana terikut-ikut gaya hidup orang lain.
Bersaralah dengan bijak, penuh perancangan dan kesedaran. Jadikan pengalaman mereka yang terdahulu sebagai iktibar agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

