Bragg Organic ACV Blends tampil gaya hidup sihat moden, bantu sokong imun, kesihatan dalaman
KUALA LUMPUR – Dalam dunia serba pantas hari ini, semakin ramai pengguna mula memberi perhatian terhadap penjagaan kesihatan dalaman menerusi amalan pemakanan lebih semula jadi dan seimbang.
Antara yang semakin mendapat tempat ialah cuka epal atau apple cider vinegar (ACV) yang terkenal kerana manfaatnya dalam membantu menyokong sistem imun, kesihatan penghadaman serta keseimbangan tubuh secara keseluruhan.
Malah, gabungan bahan semula jadi seperti cranberry dan halia dalam formulasi ACV kini dilihat sebagai pendekatan baharu yang lebih praktikal dan mudah dinikmati oleh pengguna moden yang mahu menjaga kesihatan tanpa mengorbankan rasa.

Bersandarkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk kesejahteraan berasaskan bahan organik, Bragg, peneraju global dalam produk kesihatan dan kesejahteraan semula jadi, melancarkan Bragg Organic ACV Blends di Malaysia menerusi kerjasama strategik bersama Big Caring Group.
Pelancaran itu turut memperkenalkan dua varian baharu iaitu Cranberry Apple dan Citrus Ginger yang dirumus khas untuk menyokong gaya hidup aktif serta rutin penjagaan kesihatan harian.
Selain Big Caring Group sebagai rakan strategik runcit, Matahari Sdn Bhd turut memainkan peranan sebagai pengedar tunggal produk Bragg di Malaysia bagi memastikan ketersediaan produk secara konsisten di seluruh negara.
Bragg yang memiliki sejarah lebih 100 tahun sejak tahun 1912 terkenal sebagai antara jenama perintis dalam penghasilan cuka epal berkualiti tinggi.
Pengarah Unit Perniagaan Kecantikan, Bayi dan Makanan Kesihatan Big Caring Group, Foo Fung Jiun berkata, kerjasama bersama Bragg bertujuan membawa lebih banyak pilihan produk kesejahteraan berkualiti kepada pengguna Malaysia.
“Di Big Caring Group, kami sentiasa memastikan produk yang ditawarkan relevan dengan keperluan gaya hidup pengguna masa kini yang semakin mementingkan kesihatan,” katanya pada majlis pelancaran di TRX Mall, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Matahari Sdn Bhd, Annie Sim berkata, kekuatan utama jenama itu terletak pada kawalan kualiti yang ketat serta penggunaan bahan organik sebenar dalam setiap produk yang dihasilkan.
“Ramai boleh menghasilkan cuka epal sendiri termasuk di rumah, tetapi apa yang membezakan Bragg ialah pengalaman lebih satu abad serta piawaian kawalan kualiti yang sangat tinggi.
“Produk kami juga menerima pelbagai pensijilan antarabangsa seperti USDA dan B Corporation, selain bebas GMO,” katanya.
Menurutnya lagi, varian Cranberry Apple dibangunkan khusus untuk membantu menyokong kesihatan saluran urinari selain meningkatkan sistem imun badan.
“Cranberry sememangnya terkenal sebagai bahan semula jadi yang baik untuk penjagaan kesihatan wanita, terutama berkaitan saluran urinari.
“Apabila digabungkan dengan ACV, ia membantu menyokong sistem imun dan penjagaan kesihatan dalaman secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, varian Citrus Ginger pula mengetengahkan gabungan rasa sitrus dan halia yang lebih menyegarkan.
Tambah Annie, halia telah lama digunakan dalam budaya masyarakat Asia termasuk Malaysia kerana manfaatnya terhadap tubuh badan.
“Halia sering dikaitkan dengan membantu melancarkan peredaran darah dan memberi rasa lebih segar serta bertenaga,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kedua-dua varian itu bukan sekadar produk berperisa biasa, sebaliknya menggunakan bahan organik sebenar yang diperakui.
“Ramai menyangka kami hanya menambah perisa cranberry atau halia supaya cuka epal lebih mudah diminum.
“Sebenarnya kami menggunakan bahan organik sebenar dalam formulasi produk ini, bukan sekadar penambah rasa,” katanya lagi
Bragg Organic ACV Blends dihasilkan di Amerika Syarikat menggunakan 100 peratus epal organik menerusi proses penapaian semula jadi.
Produk itu juga mengandungi 750 miligram asid asetik bagi setiap hidangan serta tidak mengandungi pewarna tiruan, gula diproses dan bahan pengawet.
Mengenai cara pengambilan, pengguna disarankan mengambil dua sudu teh ACV yang dicampurkan bersama air setiap hari, sama ada sebelum makan pada waktu pagi atau selepas makan mengikut keselesaan individu.
Namun, beliau menasihatkan pengguna supaya mengambilnya secara sederhana kerana tahap toleransi tubuh setiap individu adalah berbeza, terutama bagi mereka yang mempunyai perut sensitif.
Kedua-dua varian ACV Cranberry Apple dan Citrus Ginger ini dijual pada harga RM36.60 bagi setiap botol dengan isi kandungan 473ml di farmasi Big Caring seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









